AGAR TIDAK MENJADI EKSTRIMIS: DISIPLIN MEMAHAMI NAS SYARAK (Siri 2)

Muhammad el-Izz
Felo Penyelidik
Akademi NUNJI

 

Menyaring Dalil

Penting diketahui bahawa Dalalah hanya diekstrak keluar daripada Dalil. Ulama tidak memperbincangkan Dalalah yang datang daripada Dalil yang tidak diiktiraf oleh Syarak; seperti pandangan orang awam, mimpi dan sebagainya. Ringkasnya, bukan semua pandangan yang sampai kepada kita boleh dijadikan sebagai Dalil dan hujah dalam beragama, kecuali ia datang daripada sumber yang betul.

Memastikan sumber utama bagi sesuatu ilmu merupakan pendinding daripada kesesatan. Bukan dalam bidang agama sahaja, bahkan dalam apa jua bidang sekalipun. Dalam bidang perubatan sebagai contoh, ada tertib Level of Evidence yang mengukur tahap pembuktian saintifik dan menjawab persoalan ‘adakah sesebuah produk atau amalan tertentu mempunyai kesan terhadap kesihatan atau hanya sekadar Pseudo-Science yang layak ditong-sampahkan’. Malangnya ramai di antara kita yang gagal memahami Level of Evidence, hanya berpada dengan testimoni-testimoni yang terdedah kepada kecenderungan tertentu (bias) dan mengabaikan kajian makmal yang lebih diyakini.

Penyakit yang sama berlaku dalam bidang agama. Berapa ramai yang mengkultuskan ‘agamawan’ pujaan hati, dan meninggalkan al-Quran dan al-Sunnah di belakang mereka, sedangkan wahyu sifatnya maksum, namun tidak pandangan manusia biasa yang terdedah kepada pelbagai kesalahan dan kecenderungan.

Dalam Islam, Dalil yang dipegang, dikaji dan diekstrak keluar hukum dinamakan sebagai Masadir al-Tasyri’ (Sumber Hukum); ia terbahagi kepada dua cabang:

  1. Al-Masadir al-Asliyyah atau al-Marji’iyyah al-‘Ulya (Sumber rujukan primer; iaitu al-Quran dan al-Sunnah).
  2. Al-Masadir al-Tab’iyyah (Sumber rujukan sekunder; iaitu al-Ijma’, al-Qiyas, al-Istislah, al-Istishab, Syar’ man Qablana, al-‘Urf, Sad al-Dzara’i, ‘Amal Ahl al-Madinah)

Mengumpulkan Semua Dalil Yang Berkaitan

Sebelum memahami hukum syarak berkaitan suatu permasalahan, semua Dalil yang berkaitan perlu dikumpulkan dan ditafsirkan bersama. Ini kerana Dalil berkait antara satu sama lain; ada yang disebut umum dalam suatu Dalil, kemudian dikhususkan dalam Dalil yang lain, ada yang samar dalam suatu Dalil, tapi dijelaskan dalam Dalil yang lain, ada yang menjadi kaedah umum, sebaliknya ada juga yang merupakan hukum pengecualian.

Sebagai contoh jika kita ingin menetapkan pandangan kita terhadap rakan-rakan yang bukan-muslim, kita tidak boleh berpada hanya dengan ayat sayf (‘ayat-ayat pedang’) yang mengisytiharkan perang terhadap bukan-muslim), lantas kita simpulkan bahawa bukan-muslim harus diperangi (dengan maksud bunuh) habis-habisan. Ini adalah pandangan yang singkat serta tidak berlandaskan kepada disiplin yang betul.

Pandangan singkat inilah yang menjerat ISIS, sehingga mereka mengisytiharkan perang terhadap alam seluruhnya. Dalam satu ucapan oleh pimpinan ISIS yang bernama Abu Muhammad al-‘Adnani, beliau memulakan ucapannya dengan menyebut:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الـمَبْعُوث بِالسَّيْفِ رَحْمَةً لِلْعَالَمِين

“Ya Allah, selawatlah ke atas Junjungan Besar kami Muhammad yang diutuskan dengan membawa pedang sebagai rahmat bagi sekalian alam”[1]

Ucapan yang dahsyat ini menerima kecaman oleh ulama seluruh dunia, ini kerana rahmat Islam merupakan kaedah umum yang datang melalui Dalil yang definitif dan Dalalah yang tidak diperselisihkan. Ada pun ucapan tersebut hanya berasaskan kepada satu hadith “Sesungguhnya aku dibangkitkan dengan membawa pedang[2] yang berada dalam situasi pengecualian khusus. [3]

Menjadi suatu kaedah yang dipegang oleh ulama Islam: Dalil yang duduk dalam isu pengecualian yang merujuk kepada situasi tertentu, atau khas untuk individu tertentu yang dinamakan, maka ianya tidak boleh diangkat menjadi satu kaedah umum.

Sebagai contoh hadith “Pemimpin-pemimpin mesti daripada kalangan Quraisy”[4], hadith tersebut sekali pun bertaraf sahih, namun ianya bukanlah satu kaedah umum dalam Islam yang mensyaratkan pemimpin mesti daripada kalangan Quraisy, hadith tersebut merujuk kepada satu tempoh masa terbatas dan khusus untuk geografi tertentu[5]. Ada pun yang menjadi kaedah umum dalam Islam dan ditegaskan dalam sekian banyak Dalil ialah kepimpinan yang adil, tanpa melihat kepada warna kulit, bangsa atau pun rupa zahir.

Begitu juga dengan hadith yang membenarkan menyusukan orang dewasa (serta hukum mahram antara ibu dan anak susuan yang menyusul selepas itu), sekali pun ada Dalil bertaraf sahih menunjukkan kebenaran Nabi s.a.w. kepada isteri Abu Huzaifah untuk menyusukan Salim[6], namun ianya merupakan kebenaran khas hanya untuk isteri Abu Huzaifah sahaja, dan Dalil tersebut tidak boleh digunakan pada tempat-tempat yang lain[7]. Ada pun yang menjadi kaedah umum dalam Islam dan ditegaskan dalam sekian banyak Dalil ialah hukum susuan hanya terpakai kepada bayi yang belum cukup 2 tahun untuk menjadi mahram.

Selain daripada kefahaman yang tepat terhadap Dalil, mengumpulkan semua Dalil yang berkaitan juga memberi satu kefahaman berkaitan dengan al-Awlawiyyat (Keutamaan), sebagai contoh jika ingin mengetahui keutamaan dalam politik dan gerak-kerja ke arah Islah masyarakat dan negara, semua Dalil mesti dikumpulkan dan dibaca bersama, bermula dengan gerak kerja sewaktu fasa Makkiyyah, dan pembentukan negara sewaktu fasa Madaniyyah, ia akan memberikan gambaran yang lengkap kepada kita bagaimana gerak kerja mana-mana gerakan Islam seharusnya bermula.

(bersambung)

 

 

_______________________________________________________________

[1] Boleh ditonton di Youtube dengan tajuk “وليمكنن لهم دينهم الذي ارتضى”

[2] Musnad Imam Ahmad, 9/123. No. hadith 5114

[3] Baca selanjutnya dalam Surat Ulama Dunia kepada al-Baghdadi, 2

[4] Musnad Imam Ahmad, 19/318, no. hadith 12307. Disahihkan oleh al-Arnauth

[5] Kaifa Nata’amal ma’a al-Sunnah, 150

[6] Sahih Muslim, 2/1076, no. hadith 1453

[7] Demikianlah pandangan Jumhur Fuqaha’. Baca selanjutnya di al-Tamhid lima fi al-Muwatto’ min al-Ma’ani wa al-Asanid, 8/260

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *