AGAR TIDAK MENJADI EKSTRIMIS: DISIPLIN MEMAHAMI NAS SYARAK (Siri 1)

Muhammad el-‘Izz

Felo Penyelidik

Akademi NUNJI

 

Al-Quran Dan al-Sunnah Sebagai Panduan Hidup

Al-Quran dan al-Sunnah merupakan wahyu yang diturunkan sebagai manual kehidupan manusia, ia merupakan asas kepada pembangunan tamadun dan kejayaan manusia di dunia dan akhirat. Kejayaan manusia di dunia dan di akhirat berkadar langsung dengan kefahaman mereka terhadap al-Quran dan al-Sunnah (yang selepas ini hanya akan dirujuk sebagai Nas Syarak). Metodologi yang salah ketika membaca Nas Syarak tidak akan membuahkan kefahaman yang baik, atau memberikan solusi terhadap permasalahan kehidupan, bahkan ia akan menimbulkan masalah baru dan menjadikan masalah yang sedia ada menjadi lebih parah.

Oleh itu, kefahaman yang betul terhadap Nas Syarak mesti dicorak melalui disiplin yangtepat. Permasalahan ini diberi perhatian yang serius oleh ulama silam dan masa kini, ataskesedaran itu lahirlah disiplin memahami nas seperti yang terhimpun dalam Usul al-Fiqh,kaedah Bahasa Arab dan lain-lain lagi.

Jika mahu dihuraikan dengan lengkap berkaitan disiplin tersebut, sudah tentu siri artikelpendek ini tidak mencukupi. Dalam keterbatasan beberapa muka surat ini, penulis hanyaakan menyentuh satu aspek penting sahaja iaitu kepentingan menyemak Dalalah al-Nusus(Petunjuk Nas).

Antara Dalil Dan Dalalah

Dalil mempunyai maksud yang pelbagai dalam Usul al-Fiqh, akan tetapi masyhurnya iaditerjemahkan sebagai ‘Apa yang boleh diekstrak keluar daripadanya hukum-hukum Syarak yangbersifat praktikal’¹, ia adalah sumber kepada hukum-hukum Syarak, iaitu al-Quran, alSunnah, al-Ijma’ dan al-Qiyas.

Ada pun Dalalah pula merupakan maksud yang menggambarkan kehendak nas tersebut². Sebarang hukum yang keluar, ia mesti disemak dari sudut kekuatan jalur periwayatan Dalil; sama ada ia bersifat Qat’i (Definitif) atau Zhanni (Spekulatif), begitu juga dengan kekuatan Dalalah (interpretasi makna); sama ada ia bersifat Qat’i atau Zhanni.

Oleh itu, tidak semua Dalil yang Qat’i mesti mempunyai Dalalah yang Qat’i, boleh jadiia bersilang antara Dalil dan Dalalah di satu sudut, dan kekuatannya dari segi Qat’i dan Zhanni di sudut yang lain. Ia boleh dilihat daripada beberapa contoh ringkas di bawah:

  1. Qat’iyyah al-Thubut wa al-Dalalah

Dalil yang definitif dari segi periwayatannya, juga definitif dari segi Dalalahnya, seperti ayat al-Quran yang menerangkan tentang kafarah Zihar iaitu dengan berpuasa dua bulan berturut-turut³. Semenjak ia adalah ayat al-Quran yangdiriwayatkan secara Mutawatir maka secara automatik ia termasuk dalam Dalil yang bersifat definitif, begitu juga dengan Dalalahnya yang difahami tanpa khilaf.

  1. Qat’iyyah al-Thubut wa Zhanniyyah al-Dalalah

Dalil yang definitif dari segi periwayatannya, namun spekulatif dari segi Dalalahnya, seperti perkataan “al-Lams” (sentuh) dalam al-Quran yang boleh diinterpretasikan sebagai “bersentuh kulit” atau “bersetubuh” dalam bab perkara yang membatalkan wudhu’.

  1. Zhanniyyah al-Thubut wa Qat’iyyah al-Dalalah

Dalil yang spekulatif dari segi periwayatannya, namun definitif dari segi Dalalahnya,seperti hadith⁴ berkaitan batal wudhu’ bagi mereka yang ketawa dengan kuat dalam solat seperti yang dipegang oleh Mazhab Hanafi⁵. Sekali pun hadith ini Dalalahnya definitif, namun periwayatannya adalah spekulatif kerana ia bertaraf hadith yang do’if (lemah)⁶.

  1. Zhanniyyah al-Thubut wa al-Dalalah

Dalil yang spekulatif dari segi periwayatannya serta Dalalahnya, seperti dalam hadith-hadith yang do’if dan diperselisihkan interpretasi maknanya.

Ringkasnya, sesuatu hukum ia mesti dipastikan kesahihan Dalil dan ketepatan Dalalahnya. Hanya sekadar terdapat isyarat berkaitan sesuatu isu dalam al-Quran dan al-Sunnah masih belum cukup untuk membuktikan apa-apa hukum. Di sini letaknya kepentingan Dalalah dan disiplinnya dalam memahami Nas Syarak. Al-Qaradhawi di dalam ‘Kayfa Nata’amal ma’a al-Quran’ (Bagaimana memahami al-Quran) mengingatkan tentang bahaya memahami Dalalah dengan cara yang salah. Tulis beliau:

“Banyak yang terjadi, Nas tersebut sahih, tidak diragui, tiada khilaf tentang sabit (periwayatan)nya;ia adalah sebahagian daripada al-Quran atau al-Sunnah – sama ada berbentuk perkataan,perbuatan atau pengakuan -, akan tetapi masalah pada cara berhujah dengan Nas tersebut untuksesuatu perkara sedangkan ia tidak menyokong (perkara tersebut) kerana ia berada dalam konteksyang berbeza”⁷.

Beliau membawa contoh penafsiran liar Khawarij terhadap ayat “Sesungguhnya tiada hukum kecuali (ianya) milik Allah”⁸ sehingga mengkafirkan umat Islam selain kumpulan mereka dan menghalalkan darah saudara mereka sendiri. Ini adalah contoh klasik bagaimana Dalil yang betul tetapi difahami dengan Dalalah yang salah, bahkan ia juga boleh dianggap sebagai contoh terawal bagaimana sikap beragama yang kuat; ibadah yang luar biasa, semangat menegakkan Islam yang membara, namun membawa kerosakan di atas bumi. Semua ini bertitik tolak daripada kefahaman yang dangkal dan penafsiran separuh masak terhadap Nas Syarak.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

________________________________________________________

¹‘Ilm Usul al-Fiqh, 20

²Al-Manahij al-Usuliyyah, 540

³Surah al-Mujadilah, 3 dan 4

⁴Sunan Dar al-Qutni, 1/302, no. hadith 612

⁵Al-Mabsuth, 1/77

⁶Sunan Dar al-Qutni, 1/300, no. hadith 610

⁷Kayfa Nata’amal ma’a al-Quran, 316

⁸Surah Yusuf, 40

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *