AGAR TIDAK MENJADI EKSTREMIS: DISIPLIN MEMAHAMI NAS SYARAK (Siri 5 akhir)

Muhammad el-Izz
Felo Penyelidik
Akademi NUNJI

 

Penyakit Bermudah – mudah Dalam Memahami Dalil

            Antara peyakit yang menimpa sebahagian daripada aktivis gerakan Islam ialah terlalu mempermudah-kan tafsiran terhadap Dalil. Sebahagian orang merasakan semenjak mereka telah dilahirkan sebagai muslim, maka menjadi hak mereka untuk menafsirkan Dalil menurut kehendak mereka.

Ini adalah sebahagian daripada kefahaman menyimpang yang dipegang oleh ISIS, dalam satu keratan video yang dimuat naik di internet pada Julai 2014, seorang pemimpin mereka bernama Abu al-Barra’ al-Hindi berkata:

                “Bukalah al-Quran dan bacalah semua ayat-ayat jihad, pastinya semua akan jelas. Ulama berkata, “ini fardhu, ini                           tidak difardhukan, ini bukan waktu jihad”. Tinggalkanlah semuanya dan bacalah al-Quran, pasti kamu akan                             mengetahui

Realitinya, bukanlah semudah itu untuk memahami jihad atau apa-apa jua permasalahan dalam al-Quran dan al-Sunnah. Jika dalam bidang sains kita merujuk kepada saintis, bidang perubatan kita merujuk kepada doktor, begitu juga dalam bidang agama, ia mesti dirujuk kepada pakarnya. Memang benar sahabat-sahabat dahulu memahami al-Quran dan sabda Baginda s.a.w. dengan mudah, namun adakah kita merasakan taraf kita sama dengan sahabat yang kuat imannya, bersih jiwanya dan berkemampuan memahami bahasa Arab dengan baik?

Dalam apa jua bidang sekali pun, Allah s.w.t. berpesan supaya dirujuk kepada pakarnya:

 

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

 “Maka bertanyalah kamu semua kepada orang yang mengetahui, jika kamu

semua tidak mengetahuinya”[1] Al-Nahl, 43

 

Ayat di atas, meski ringkas, namun ia menyedarkan manusia yang lemah, bahawa bukan semua perkara di atas  dunia ini dalam pengetahuannya. Atas kelemahan dan keterbatasan ilmu, sewajarnya semua permasalahan dirujuk  kepada ahli dan pakarnya, bukannya dengan mengangkat diri menjadi pakar, lalu semua permasalahan diulas, dengan  metodologi yang tempang dan pengetahuan yang cetek, sehingga akhirnya kesucian agama ini tercemar disebabkan   oleh sikap gopoh seperti di atas.

 

Penutup

Hari ini, ramai orang ingin kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah, ianya sangat baik, bahkan ia menepati arahan Allah Taala, namun semangat yang berkobar-kobar sahaja tidak cukup, ia mesti dipupuk bersama dengan disiplin ilmu, supaya akhirnya maksud Dalil yang sebenar dapat diekstrak, dan umat mendapat manfaat daripadanya.

Mudah-mudahan sorotan ringkas ini menjadikan kita orang yang berhati-hati dalam berinteraksi dengan Dalil, serta terpelihara daripada termasuk dalam golongan yang diancam oleh Baginda s.a.w.:

 

مَنْ قَالَ فِي القُرْآنِ بِغَيْرِ عِلْمٍ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

   “Barangsiapa yang bercakap tentang al-Quran tanpa ilmu, maka siap 

sedialah tempatnya dalam neraka”[2]

Wallahu a’lam

 

[1] Al-Nahl, 43

[2] Sunan al-Tirmidzi, 5/199, no. hadith 2950.

 

_________________________________________

Rujukan
Al-Quran al-Karim

Al-Qurthubi, Muhammad bin Ahmad (1964). Al-Jami’ li Ahkam al-Quran. Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah

Al-Nasafi, Abdullah bin Ahmad (1998). Tafsir al-Nasafi. Beirut: Dar al-Kalim al-Thayyib

Al-Tabari, Muhammad bin Jarir (2000). Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Quran. Muassasah al-Risalah

Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail (2001). Sahih al-Bukhari. Dar Tuq al-Najah

Muslim bin Hajjaj (T.Th). Sahih Muslim. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi

Al-Turmudzi, Muhammad bin Isa (1975). Sunan al-Turmudzi. Mesir: Maktabah Mustafa al-Halabi

Malik bin Anas (1991). Al-Muwatto’. Damsyik: Dar al-Qalam

Imam Ahmad bin Hanbal (2001). Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal. Muassasah al-Risalah

Al-Hakim, Muhammad bin Abdullah (1990). Al-Mustadrak ‘ala al-Sohihain. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah

Abu Dawud, Sulaiman bin al-Asy’ath (T.Th). Sunan Abi Dawud. Beirut: al-Maktabah al-‘Asriyyah

Al-Darqutni, ‘Ali bin Umar (2004). Sunan al-Darqutni. Beirut: Muassasah al-Risalah

__________ (T.Th). Sahih wa al-Dho’if Sunan al-Turmudzi. Iskandariah: Markaz Nur al-Islam

Abu Syamah, Abdul Rahman bin Ismail (1978). al-Ba’ith ‘ala Inkar al-Bida’ wa al-Hawadith. Kaherah: Dar al-Huda

Al-Sarakhsi, Muhammad bin Ahmad (1993). Al-Mabsuth. Beirut: Dar al-Ma’rifah

Ibn Abd al-Bar, Yusuf bin Abdullah (1967). al-Tamhid lima fi al-Muwatto’ min al-Ma’ani wa al-Asanid. Maghribi: Kementerian Waqaf

Al-Qaradhawi, Yusuf bin Abdullah (2006). Kayfa Nata’amal ma’a al-Quran. Kaherah: Dar al-Syuruq.

__________ (2002). Kayfa Nata’amal ma’a al-Sunnah. Kaherah: Dar al-Syuruq

Abdul Wahhab Khallaf (T.Th). ‘Ilm Usul al-Fiqh. Kaherah: Maktabah al-Dakwah

Al-Syah Waliyullah al-Dahwlawi, Ahmad bin Abdul Rahim (2005). Hujjatullah al-Balighah. Beirut: Dar al-Jayl

Al-Sowi, Solah (2011). Mada al-Syar’iyyah al-Intima’ ila al-Ahzab wa al-Jama’at al-Siyasiyyah. Kaherah: al-Jami’ah al-Dawliyyah

Open Letter to al-Baghdadi. Akses pada 20 Disember 2015 di pautan http://www.lettertobaghdadi.com/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *