AGAR TIDAK MENJADI EKSTREMIS: DISIPLIN MEMAHAMI NAS SYARAK (Siri 3)

Muhammad el-Izz
Felo Penyelidik
Akademi NUNJI

 

 

Dalil Difahami Berdasarkan Kepada Konteks

Keperluan memahami konteks Dalil sangat penting. Tidak mungkin sebarang Dalil difahami kecuali melalui konteksnya yang betul, pesan Sayyidina Umar al-Khattab:

إِنَّ هَذَا القُرْآنَ كَلَامُ اللهِ، فَضَعُوهُ عَلَى مَوَاضِعِهِ، وَلَا تَتَّبِعُوا فِيهِ أَهْوَاءَكُمْ

“Sesungguhnya al-Quran ini adalah kalam Allah, maka letakkannya (fahamilah) berdasarkan kepada kedudukannya (konteksnya), dan jangan kamu mengikut hawa nafsu kamu”

Antara contoh yang boleh dilihat ialah firman Allah s.w.t. kepada penghuni neraka:

ذُقْ إِنَّك أَنْت الْعَزِيز الْكَرِيم

 “Rasakanlah (azab seksa), sesungguhnya kamu orang yang perkasa lagi mulia.”[1]

Jika dilihat dari zahir ayat, seolah – olah Allah s.w.t. memuji penghuni neraka (“yang perkasa lagi mulia”), namun ia bermaksud sebaliknya iaitu yang keji lagi hina[2]. kefahaman ini diekstrak berdasarkan kepada konteks ayat yang merupakan sindiran Allah s.w.t. kepada ahli neraka.

Begitu juga dengan cemuhan kaum Nabi Syu’aib kepada baginda seperti yang diceritakan oleh al-Quran:

إِنَّكَ لَأَنْتَ الْحَلِيمُ الرَّشِيدُ

“Sesungguhnya engkau (wahai Syu’aib) adalah orang yang penyabar, lagi bijak berakal”

Secara literalnya kaum Madyan – yang umumnya mendustakan baginda – memuji baginda, namun jika dilihat daripada konteks ayat, ia bukanlah pujian, bahkan sindiran yang sebenarnya bermaksud “Sesungguhnya engkau (wahai Syu’aib) adalah orang yang bodoh, lagi sesat”[3]

Memetik Dalil tanpa melihat kepada konteksnya, akan membawa kepada kekeliruan. Ramai orang mengambil hadith “Kalian lebih mengetahui tentang urusan dunia kalian” dan memisahkannya daripada konteks sebenar, sehingga kelihatan seolah-olah Islam tiada tempat dalam urusan keduniaan dan hanya berlegar sekitar dinding masjid.

Sedangkan hadith tersebut punya konteksnya tersendiri, ia perlu dibaca secara keseluruhan, bukan dengan memotong Dalil dan menafsirkannya secara terpisah sehingga memberikan tafsiran yang salah. Ada pun keseluruhan Dalil tersebut ialah:

عَنْ أَنَسٍ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ بِقَوْمٍ يُلَقِّحُونَ، فَقَالَ: “لَوْ لَمْ تَفْعَلُوا لَصَلُحَ” قَالَ: فَخَرَجَ شِيصًا، فَمَرَّ بِهِمْ فَقَالَ: “مَا لِنَخْلِكُمْ؟” قَالُوا: قُلْتَ كَذَا وَكَذَا، قَالَ: “أَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأَمْرِ دُنْيَاكُمْ”

Dari Anas r.a. bahawa Nabi s.a.w. pernah melewati satu kaum yang sedang mengahwinkan mayang-mayang tamar. Baginda s.a.w. lalu bersabda, “Andai kalian tidak melakukan proses ini, pasti tamar itu menjadi baik.” Anas berkata: Pohon tamar itu ternyata menghasilkan tamar yang buruk. Lalu Nabi s.a.w. suatu saat melewati lagi mereka dan bertanya, “Apa yang terjadi pada tamar kalian?” Mereka berkata, “Anda pernah berkata demikian dan demikian.” Baginda pun bersabda, “Kalian lebih tahu tentang urusan dunia kalian”.[4]

Dalam riwayat lain yang lebih jelas, disebutkan:

عن رَافِعُ بْنُ خَدِيجٍ، قَالَ: قَدِمَ نَبِيُّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ، وَهُمْ يَأْبُرُونَ النَّخْلَ، يَقُولُونَ يُلَقِّحُونَ النَّخْلَ، فَقَالَ: “مَا تَصْنَعُونَ؟” قَالُوا: كُنَّا نَصْنَعُهُ، قَالَ: “لَعَلَّكُمْ لَوْ لَمْ تَفْعَلُوا كَانَ خَيْرًا” فَتَرَكُوهُ، فَنَفَضَتْ أَوْ فَنَقَصَتْ، قَالَ فَذَكَرُوا ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ: “إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ، إِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَيْءٍ مِنْ دِينِكُمْ فَخُذُوا بِهِ، وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَيْءٍ مِنْ رَأْيِي، فَإِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ”

“Riwayat daripada Rafi` bin Khadij r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah, ketika orang Madinah sedang mengahwinkan mayang-mayang tamar. Nabi s.a.w. bertanya: “Perkara apa yang kamu sedang lakukan itu?”. Mereka menjawab: “Kami sedang mengahwinkan mayang-mayang tamar”. Nabi bersabda: “Kalau kamu tidak melakukan begitu nescaya lebih baik” lalu mereka pun berhenti melakukannya dan hasil tamar mereka pun merosot. Kata rawi: lalu mereka maklumkan perkara itu kepada Nabi s.a.w. lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya aku adalah manusia, apabila aku menyuruh kamu mengerjakan sesuatu perkara agama kamu, maka lakukanlah dan jika aku menyuruh kamu melakukan sesuatu pendapat, maka sesungguhnya aku seorang manusia”.[5]

Jelasnya, hadith tersebut berkaitan dengan suatu peristiwa berlaku selepas Nabi s.a.w. berhijrah ke Madinah. Baginda menyaksikan pekebun-pekebun tamar mengahwinkan mayang-mayang tamar seperti yang lazimnya dilakukan oleh penduduk Madinah bagi mendapatkan hasil yang lebih bermutu.

Melihat proses tersebut yang begitu teknikal dan sukar, Nabi s.a.w. mencadangkan agar proses seumpama itu tidak dilakukan. Pekebun-pekebun itu pun menerima cadangan Nabi dengan anggapan pandangan baginda merupakan sebahagian daripada wahyu yang wajib dipatuhi.

Akibat tindakan mereka mengabaikan pengahwinan mayang-mayangnya sebagaimana sepatutnya, hasil ladang tamar Madinah merosot pada tahun itu. Keadaan itu dilaporkan kepada Nabi s.a.w., lalu baginda pun bersabda: “Kamu lebih mengetahui tentang urusan dunia kamu”.

Jelas kepada kita, Dalil tidak boleh dipetik secara liar tanpa mematuhi disiplin yang sepatutnya. Kefahaman yang songsang berakibat daripada kecuaian berinteraksi dengan Dalil akan melahirkan pandangan yang salah dan ekstrem serta membawa masalah kepada dunia.

(bersambung)

 

___________________________________________________

[1] Surah al-Dukhan, 49

[2] Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 16/151

[3] Tafsir al-Nasafi, 2/78

[4] Sahih Muslim, 4/1836, no. hadith 2363

[5] Ibid, 4/1835, no. hadith 2362

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *